Search Your Job Here (Job or Location)

Saturday, December 15, 2012

167,344 berjaya dalam program 'penjodohan pekerjaan'

167,344 berjaya dalam program 'penjodohan pekerjaan'
2012-11-01 Disediakan oleh Berita Harian


Kuala Lumpur: Seramai 167,344 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan menerusi program `penjodohan pekerjaan' yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama majikan yang mencari pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata daripada jumlah itu, lebih 40,000 adalah siswazah.

Katanya, selain pemohon yang berdaftar dengan gerbang kerjaya interaktif kementerian, iaitu www.jobsmalaysia.gov.my, kementerian turut membawa majikan terbabit turun padang untuk menemuduga pekerja.

Kita membawa majikan menghadiri program seperti karnival kerjaya sama ada di bandar besar atau pekan kecil," - Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Sumber Manusia

“Kita membawa majikan menghadiri program seperti karnival kerjaya sama ada di bandar besar atau pekan kecil untuk menemuduga pencari kerja dan ada yang terus menerima tawaran pekerjaan hasil program itu,” katanya menjawab soalan tambahan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, menjawab soalan lisan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) Maznah menafikan kehadiran pekerja asing yang begitu ramai menyebabkan pengangguran dalam kalangan tenaga kerja tempatan.

Katanya, pengambilan pekerja asing dilakukan mengikut kriteria dan syarat kelayakan yang diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKK-PA) dengan kebanyakan pekerja asing tertumpu 3D iaitu, `dirty (kotor), dangerous (berbahaya) dan difficult' (sukar).

Beliau berkata, pekerjaan 3D terbabit tidak diminati pekerja tempatan dan negara terpaksa bergantung kepada buruh asing terutama sektor pembuatan, pembinaan, perladangan dan pertanian.

“Data Jabatan Perangkaan mendapati pengangguran negara pada Oktober adalah 2.7 peratus dan kadar ini adalah dalam tahap guna tenaga penuh dan pengangguran adalah terkawal,” katanya.

Maznah berkata, tidak benar dakwaan kehadiran pekerja asing yang ramai menyebabkan pengangguran di kalangan tenaga kerja tempatan kerana Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sentiasa memantau dan memastikan pengambilannya terkawal.

“Sehingga akhir akhir tahun lalu, seramai 1.38 juta pekerja asing bekerja di negara ini terutama membabitkan pekerjaan 3D,” katanya.

No comments:

Post a Comment